Buat Duit Dengan Webinar
Pernahkah anda mendengar mengenai webinar?
Baru-baru ini terdapat satu kaedah penganjuran program yang semakin popular dan mendapat sambutan yang baik, iaitu dengan menggunakan kaedah webinar. Antara webinar yang popular pernah dibuat di Malaysia ialah Program Sembang Bisnes anjuran Cikgu Hafis.
Melalui kaedah ini, sesuatu kursus, bengkel ataupun seminar dianjurkan secara maya, dengan menggunakan platform internet untuk membolehkan interaksi di antara penganjur program dan peserta.
Kelebihan Menggunakan Webinar
– Menjimatkan masa bagi pihak anda sebagai penganjur, dan di pihak peserta, ia amat menjimatkan masa kerana mereka tidak perlu hadir secara fizikal untuk menghadiri seminar tersebut. Sedangkan semua orang cuma perlu komited untuk tempoh masa webinar itu berlangsung, iaitu mungkin sejam, dua jam atau beberapa jam mengikut jadual webinar.
– Menjimatkan kos kerana anda tidak perlu menyewa bilik seminar, peralatan audio dan visual, perkhidmatan rakaman video dan lain-lain. Peserta juga boleh menjimatkan wang kerana mereka tidak perlu memandu ke tempat seminar atau membayar tol, parking, atau tiket kapal terbang.
– Mudah di pihak anda dan peserta, kerana semua orang cuma perlu menggunakan sambungan internet berserta set audio dan mikrofon untuk berinteraksi dengan anda dan peserta lain webinar tersebut. Kini sudah tiada alasan untuk tidak menyertai seminar kerana webinar seperti ini dilakukan secara online, peserta boleh menyertai webinar anda dari rumah mereka sendiri dalam suasana yang mereka tetapkan sendiri.
– Interaktif, iaitu setiap sesi webinar membolehkan anda berkongsi skrin dengan peserta webinar. Sekiranya mereka mempunyai sebarang persoalan, mereka boleh menggunakan fungsi-fungsi yang terdapat di dalam sistem webinar seperti chat menggunakan teks, fungsi ‘mengangkat tangan’ untuk mendapatkan perhatian anda, dan mereka juga boleh bercakap melalui mikrofon dan didengar oleh peserta-peserta lain.
– Sesi webinar juga boleh dirakam ketika ia dilangsungkan, tanpa perlu anda mengupah perkhidmatan rakaman profesional. Anda boleh menggunakan perisian percuma ataupun berbayar untuk merakam aktiviti skrin komputer anda, berserta audio sepanjang webinar dilangsungkan.
Bagaimana Menggunakan Webinar untuk Menjana Wang
1. Pilih produk yang ingin dipromosikan – perkara pertama yang anda boleh buat adalah untuk memilih produk sendiri atau produk affiliate untuk dipromosikan melalui webinar. Langkah ini sudah tentu pilihan sahaja, sekiranya anda tidak ingin mempromosi sebarang produk, dan cuma fokus untuk menjual sesi webinar, boleh juga. Namun sekiranya anda promosikan produk melalui webinar, sudah tentu potensi menjana wang adalah lebih besar.
2. Pilih tajuk webinar yang bersesuaian – anda boleh memilih tajuk webinar yang bersesuaian dengan produk yang dipromosikan. Tajuk ini juga mestilah sesuatu yang anda punyai pengetahuan dan kemahiran. Perlukah anda miliki sijil profesional untuk mengajar sesuatu seminar? Sudah tentu tidak perlu. Sekiranya anda miliki sijil, adalah lebih baik. Tapi sekiranya tidak ada, anda tidak perlu risau kerana ia bukan keperluan untuk menganjurkan seseuatu webinar.
3. Sediakan laman pendaftaran webinar – selanjutnya anda perlu menyediakan laman web untuk pendaftaran webinar. Sekiranya anda mempunyai bajet yang lebih, bolehlah anda mempertimbangkan untuk mengupah designer profesional untuk mendapatkan laman web yang lebih profesional berbanding anda siapkan sendiri. Namun sekiranya anda tidak mempunyai bajet untuk ini, boleh juga digunakan alternatif borang pendaftaran percuma seperti Google Docs ataupun emel terus kepada anda untuk pendaftaran.
4. Promosikan laman pendaftaran– untuk menyampaikan maklumat mengenai webinar yang akan dilangsungkan, anda boleh menggunakan kaedah promosi percuma seperti Facebook Groups yang berkaitan, ataupun media sosial yang lain. Anda juga boleh menggunakan kaedah promosi berbayar seperti Facebook Ads ataupun menyewa banner di laman web yang mempunyai trafik tinggi seperti Lelong.my ataupun WangCyber.com.
5. Rancang webinar sebaik mungkin – sebagai persediaan, anda perlu menyediakan modul webinar seperti nota tangan, slaid pembentangan dan lain-lain untuk dibentangkan semasa webinar.
6. Rakam webinar dan sunting secara profesional – ketika webinar berlangsung, anda boleh memilih untuk merakam sesi webinar tersebut dengan menggunakan perisian percuma ataupun berbayar. Kemudian, anda perlu menyunting rakaman video tersebut secara profesional sama ada buat sendiri ataupun mengupah penyunting profesional. Rakaman ini boleh diberikan secara percuma kepada mereka yang mendaftar ke webinar anda, ataupun dijual kepada orang lain yang berminat untuk mendapatkannya.
Software Webinar yang Boleh Digunakan
Terdapat 2 laman web yang boleh anda gunakan untuk webinar, iaitu:
1. GoToMeeting.com
2. InstantTeleseminar.com
Bergantung pada jumlah pengunjung yang hadir, setiap platform di atas mengenakan cas yang berbeza-beza dan ada yang percuma.
Buat Duit dengan Webinar Memang Menguntungkan
Itulah dia, sedikit perkongsian mengenai strategi menjana wang dengan menggunakan kaedah webinar. Semoga bermanfaat untuk anda!
trima kasih dengan perkongsian ilmu..