Posted on

Kenapa Newsletter Penting Untuk Perniagaan Anda

Sebagai seorang usahawan internet, anda mempunyai banyak pilihan untuk mempromosikan perniagaan anda. Sebahagian daripada pilihan ini berbentuk promosi online, manakala sebahagian lagi berbentuk promosi offline. Salah satu kaedah promosi berkesan adalah dengan menghasilkan newsletter untuk langganan subscriber di laman web anda.

Artikel ringkas ini membongkarkan kepentingan menggunakan newsletter sebagai salah satu kaedah promosi untuk bisnes internet anda, dan tip-tip menghasilkan newsletter berkesan.

Kenapa newsletter baik untuk bisnes anda

  • Senarai subscriber yang fokus – daripada ramai pelawat yang berkungjung ke sesebuah laman web, cuma sebahagian daripada mereka yang mengisi borang opt-in untuk menerima newsletter. Ini bermaksud, cuma mereka yang serius dan benar-benar inginkan maklumat itu akan memberikan emel mereka kepada senarai subscriber anda. Mereka adalah subscriber yang mempunyai keinginan yang fokus.
  • Pelbagai siaran newsletter – Anda boleh menghantar newsletter ke alamat emel subscriber, memuatkan newsletter tersebut di laman web, atau mengkhususkannya ke dalam arkib newsletter yang mudah dicapai oleh prospek anda.
  • Strategi memujuk prospek menjadi pelanggan – Tidak semua pelawat akan membuat keputusan untuk membeli pada kali pertama mereka berkungjung di sesebuah laman web. Adalah lebih mudah untuk menawarkan kepada mereka newsletter percuma melalui borang opt-in kerana anda boleh ‘memujuk’ mereka secara berperingkat untuk membuat pembelian melalui newsletter tersebut.
  • SEO untuk kandungan berkualiti tinggi – rata-rata diperkatakan kandungan itu penting. Apabila anda memuatkan kandungan yang berkualiti tinggi ke dalam newsletter, dan membiarkan newsletter tersebut tersebar meluas melalui internet, itu sebenarnya adalah strategi SEO yang baik dan berterusan untuk laman web anda.

Nantikan strategi newsletter yang power dalam entri akan datang.

Posted on

Apa Perlu Anda Buat jika Pelanggan Minta Refund?

Tidak ada usahawan internet yang sempurna di dunia ini, melainkan jika dia..

– Boleh jawab setiap pertanyaan yang dihantar setiap minit

– Online 24 jam sehari

– Boleh berikan servis 100% ‘first class’ sepanjang masa

– Paling tidak pun, mereka boleh melayan karenah 1001 pelanggan

Pelanggan yang tidak berpuas hati

Sebagai usahawan internet, adalah amat penting kita memberikan support yang terbaik kepada pelanggan kita. Namun, sekiranya masih terdapat pelanggan kita yang tidak puas hati, berikut disenaraikan beberapa tips untuk meredakan emosi pelanggan yang memohon refund ataupun mengemukakan aduan kepada anda.

1. Ambil maklum berkenaan aduan

Perkara paling utama yang anda perlu buat adalah untuk mengambil maklum berkenaan aduan tersebut. Masalah itu tidak akan hilang sekiranya anda mengabaikannya atau  melupakannya. Bahkan, sekiranya anda segera mengakui aduan tersebut, anda mungkin dapat menyelamatkan keadaan dan menukarkan pelanggan tadi menjadi hormat dengan respon positif anda. Mungkin juga dia akan menjadi pelanggan tetap anda untuk produk-produk lain selepas ini.

Mengakui aduan tersebut tidak semestinya bermaksud anda mengaku kesilapan di pihak anda (melainkan benar-benar telah berlaku kesilapan di pihak anda). Mengakui aduan bermaksud anda serius untuk menjalin hubungan niaga dengan pelanggan tadi, dan akan berusaha untuk membantu menyelesaikan masalahnya.

2. Proaktif dan segera menangani aduan

Anda perlu bersikap proaktif menyiasat dan menangani aduan yang dikemukakan tadi. Anda mungkin perlu bertanyakan diri sendiri adakah aduan ini sangat jarang diterima ataupun memang terdapat segelintir pelanggan yang mempunyai masalah yang sama.

Sekiranya terdapat beberapa aduan, mungkin ada kecacatan pada produk atau perkhidmatan anda yang perlu diperbaiki. Namun sekiranya aduan sedemikian amat jarang diterima, mungkin juga tiada masalah dengan produk atau perkhidmatan anda, sebaliknya ia tidak sesuai dengan keperluan pelanggan itu tadi. Lagi cepat anda lakukan siasatan tersebut dan memberi maklum balas kepada pelanggan, lagi cepat anda dapat meredakan emosi pelanggan tersebut.

3. Aduan adalah mesej amaran untuk penambahbaikan

Aduan tadi tidak patut dilihat sebagai pemusnah kejayaan bisnes internet anda. Sebaliknya anda perlu menghargai setiap maklum balas pelanggan kerana ia sebenarnya adalah mesej amaran secara halus untuk anda lakukan penambah baikan kepada produk atau perkhidmatan anda. Sudah tentu anda tidak dapat memuaskan hati kesemua pelanggan di luar sana, namun sesekali apa salahnya anda menambah baik produk dan perkhidmatan anda selagi mana ia tidak menjejaskan pelanggan-pelanggan anda yang lain.

4. Berikan gambaran produk yang tepat

Sudah tentu ini adalah salah satu tip untuk mengelak aduan pelanggan yang tidak munasabah. Tip ini mensarankan anda untuk memberikan gambaran produk yang tepat di dalam surat jualan anda. Sebagai contoh, sekiranya anda menjual barangan terpakai, sudah tentu anda wajib menyatakan perkara ini di dalam deskripsi jualan anda untuk mengelak sebarang salah faham oleh pelanggan anda di kemudian hari. Begitu juga sekiranya anda menjual produk makanan atau kesihatan yang mempunyai tarikh luput, sudah tentu anda perlu menyatakan tarikh luput ini di dalam deskripsi jualan anda kerana ia akan memberikan gambaran yang tepat mengenai produk jualan anda.

5. Sediakan garis panduan yang jelas

Seterusnya, anda juga perlu memastikan anda menyediakan garis panduan yang jelas untuk setiap produk atau perkhidmatan yang anda sediakan. Sebagai contoh, anda memberikan jaminan kepuasan 100% dan jaminan refund 30 hari sekiranya tidak pelanggan tidak berpuas hati dengan produk atau perkhidmatan anda. Sekiranya anda mempunyai garis panduan sebegini, anda wajib mematuhi garis panduan tersebut, dan menghormati keputusan pelanggan sekiranya mereka membuat aduan. Sekiranya perlu, gantikan pembeliannya dengan produk yang baru. Dan sekiranya perlu, berikan refund menurut permintaannya tanpa perlu banyak soal.

6. Berikan sahaja refund

Kadang-kadang anda akan mendapat pelanggan yang suka mengemukakan aduan atau ketidak puasan hati terhadap produk anda. Dan anda merasakan karenah pelanggan ini tidak berbaloi untuk anda tangani berpandukan tips yang disenaraikan di atas. Sebagai contoh, pelanggan meminta diskaun yang tidak munasabah, atau meminta nilai tambah yang anda tidak masukkan di dalam produk jualan anda, atau kerap menghubungi anda untuk bertanya bagaimana menggunakan produk yang dibelinya walhal dia enggan merujuk kepada panduan penggunaan yang anda telah sertakan bersama-sama pembeliannya. Dalam situasi ini, eloklah anda berikan sahaja refund. Dia akan berhenti mengganggu anda, anda akan hilang satu masalah pelanggan, dan dapat fokus terhadap jualan berikutnya.

Semoga tips yang dikongsikan ini dapat membantu anda dalam menangani pelanggan yang mempunyai masalah dengan produk atau perkhidmatan sesebuah bisnes internet. Selamat maju jaya!